“Tidak perlu menyibuk urusan Pakatan Harapan (PH) Sabah”.
Demikian respon Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin susulan kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed yang menuntut penjelasan PH Sabah berhubung kedudukan kerjasama di antara gabungan parti itu dan Barisan Nasional (BN) Sabah.
Gesaan Jeffery itu rentetan kenyataan Razeef berkaitan kerusi Tanjung Aru, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun ini.
Jeffery walau bagaimanapun ditempelak oleh Ketua Penerangan PKR Sabah itu dan dianggap sebagai penyibuk kerana mencampuri urusan PH Sabah.
“Jeffery tidak perlu menyibuk urusan kami dalam PH. Jeffery tidak perlu terlalu gelojoh, apatah lagi dengan kedudukan beliau selaku pengarah pilihan raya.
“Beliau sepatutnya fokus kepada parti beliau dan mempersiapkan diri sebelum datang menghadap kami bagi rundingan kerjasama”, Razeef berkata.
Pertelingkahan antara kedua pemimpin berkenaan bermula daripada teguran Razeef terhadap Parti UPKO agar tidak menumpang hasil kerja mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru baru-baru ini.
Respon balas yang ditujukan kepada Ketua UPKO Putatan, Marcus Mojigoh yang mahukan parti itu meletakkan calon di kawasan tersebut turut menarik perhatian UMNO yang dipercayai mempunyai niat untuk bertanding di DUN Tanjung Aru.